Suasana agak tegang. Pada malam sebelumnya,barang-barang berharga didapati hilang dari istana. Penasihat istana mengesyaki salah seorang daripada pengawal-pengawal istana yang mengawal pada malam itu terlibat. Tetapi, siapakah orangnya?
"Pihak istana memberi peluang kepada yang terlibat untuk mengaku salah serta memulangkan semula barang yang dicuri. Jangan lepaskan tawaran ini. Jika tidak, pencuri akan dihukum."
Tiada respon.
"Baiklah,kalau begitu saya tiada pilihan lain. Saya terpaksa menggunakan kayu hikmat ini," katanya sambil mengeluarkan beberapa batang kayu yang lurus dan sama sahaja panjangnya.
Semua pengawal tersentak.
Kayu hikmat? Timbul gerun di hati masing-masing. Apakah itu benar-benar kayu hikmat?
"Setiap orang daripada kamu akan diberikan sebatang kayu hikmat ini. Bawa pulang ke rumah masing-masing. Esok kamu serahkan semula kayu hikmat ini. Kayu yang didapati lebih panjang sejengkal daripada yang lain, itulah tanda dialah pencuri yang kita cari!"
Masing-masing membawa pulang kayu hikmat. Si pencuri begitu takut tertangkap dengan petunjuk kayu hikmat itu. Dia mula berfikir mencari helah untuk melepaskan diri.
"Ya, aku akan potong kayu ini sejengkal. Jikalau kayu ini memanjang sejengkal, maka ia akan sama panjang dengan panjang asal!" fikirnya.
Pada keesokan harinya, semua pengawal menyerahkan kayu hikmat masing-masing. Setelah diperiksa, hanya satu kayu yang berbeza, namun yang mengejutkan bukannya lebih panjang, tetapi lebih pendek sejengkal!
"Kamulah pencurinya!" kata penasihat istana dengan yakin.
"Tetapi tuan.... Kayu hikmat itu bukannya makin panjang, tetapi makin pendek."
"Ya. Sebenarnya kayu ini kayu biasa sahaja. Ia tidak boleh memanjang pun. Tetapi hari ni saya dapati batang kayu kamu lebih pendek daripada yang lain. Kamu tahu kenapa?"
Pengawal yang bertanya itu diam.
Penasihat berkata, "Kerana kamu memotongnya dengan anggapan jika kayu itu memanjang maka ukurannya akan jadi sama dengan ukuran asal. Bukan begitu?"
Pengajaran: Kecerdikan sahaja tidak memadai untuk membina kehidupan yang baik. Apa yang lebih penting ialah kejujuran. Kejujuranlah akan menyelamatkan kita dalam menghadapi pancaroba kehidupan.
Allahua'lam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan